Adik Beradik Semakin Jauh, Bila Dengki Menjadi Duri
Kau tahu apa yang lebih menyakitkan dari hilang kawan.
Bila adik beradik yang kau percaya, yang kau harap memahami setiap rasa susah kau, buat kau makin jauh.
Adik beradik ialah kawan pertama dalam hidup kita. Yang pertama berkongsi mainan, yang pertama berbahagi makanan.Yang melihat kita mula berjalan.Yang memujuk bila kita dimarah ibu.
Seiring waktu bertambah, gelak tawa makin Kurang, Kau rasa makin menjauh. Mereka hanya bergelak tawa pada yang dianggap rapat dan akrab. Mereka lupa ada yang sedang dalam kesusahan, yang tak dapat diluah. mereka tak nak cuba faham dan tak mahu memahami. Atau, bagi mereka.. mereka juga ada susahnya dan tak mahu faham kesusahan orang lain.
Bagi mereka, kau tak pernah hadir, kau lupa diri, segala rasa susah yang kau cuba luah semua dianggap alasan yang direka.
Bila mana kehadiran kau disindir, ketiadaan kau diumpat.
Ibu bapa tak menyebelahi, tak menghalang libasan pisau, buat luka makin panjang, yang tersakiti dipaksa memahami alasan yang menyakiti. Yang sakit makin sakit. Yang libas tak rasa salah. Anak yang ditoreh ni, rasa tak adil bila orang yang patut mengawal keadaan tidak bertindak.
"Rindu kau,"
"Kau apa khabar?"
1 mesej tu sudah cukup melepaskan rindu. sudah cukup untuk buat kau rasa 'kita kan keluarga' . Mungkin 1 mesej tu terlalu sukar untuk ditaip, atau ego sendiri yang terlalu tebal. Masing-masing menunggu siapa yang bertanya dahulu.
Pernah tak kau terfikir, kenapa semua ni terjadi?
Adik beradik semakin jauh, bila dengki menjadi duri.
Kadang kala, kita tak sedar ada rasa dengki tak mula berakar daripada sekecil kecil perkara. Abang dapat kerja bagus, kita terasa hati, kakak beli kereta baru, kita terasa hati, adik dapat lebih perhatian dari ibu bapa, kita rasa kurang disayangi.
Kita nampak kakak bahagia bercuti, kita terasa hati. Semua ni berpunca dari rasa iri hati. Aku tak dapat, tak patut kau dapat, perasaan ni akan selalu muncul bila kita selalu membandingkan situasi orang lain dengan situasi diri sendiri. Kita tak pandang apa ditangan kita, apa yang kita ada, tetapi selalu pandang apa di tangan orang dan apa yang mereka pegang. Kerana itu kita lupa untuk bersyukur. Ketidaksyukuran membuahkan iri hati.
Umpatan di belakang tabir itu barah
Bercakap tentang keburukan 1 pihak dengan adik beradik yang lain itu satu barah yang parah. Bukankah sepatutnya kita saling melindungi dan menutupi kekurangan masing masing. Semua ni jadi bila satu pihak rasa betul dan menjemput yang lain membenci sama. Alangkah bagus jika rasa ketidakpuasan itu diluah dengan pihak itu sendiri.
Dengki membunuh hubungan
Perasaan ini ibarat racun yang tak nampak. Kita mula bercakap kurang baik tentang adik-beradik sendiri, kita mula berat hati untuk membantu, dan akhirnya kita jadi asing antara satu sama lain.
Adakah mereka rasa rugi jika sentiasa memahami luka kita? adakah mereka rasa tak patut jika tetap melayan baik atas setiap ketiadaan kita? Ada luka yang buat kita malu untuk tunjuk, rugikah mereka jika cuba fahami rasa sakit tu?
Keluarga.. bukan dari mana kita bermula, tetapi, ialah apa yang kita bina.
-Bayang Mayang


Comments
Post a Comment